Rosyahaida Abdullah


GALAKAN untuk warga kota berniaga secara kecil-kecilan melalui menjaja khususnya menjelang pasca pandemik Covid-19 bukannya isyarat semua orang boleh menjaja di mana-mana sahaja.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mengakui menyokong sepenuhnya semangat rakyat untuk berniaga termasuk menerusi kaedah menjaja.

Namun, beliau berkata, proses penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih diteruskan seperti biasa, malah penting untuk menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan mereka.

"Dari semasa ke semasa, kita menerima aduan dan rayuan berkaitan penjaja. Pada masa sama, ada hantaran di Facebook mengatakan kenapa pula penguat kuasa halang sedangkan menteri kata boleh berniaga dan menjaja.

"Ia memang betul. Khususnya orang muda, berbanding menganggur, lebih baik mereka bekerja. Mungkin mereka sudah mencari kerja, tetapi belum dapat jadi mereka sanggup berniaga bermula dengan penjaja, kita galakkan.

"Tetapi saya kena jelaskan bahawa proses penguatkuasaan akan berjalan sepanjang masa. Kita mesti menggalakkan rakyat berniaga dan mencari makan dengan cara halal dan betul," katanya pada sidang media di Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar yang menyampaikan lesen kepada penjaja di kawasan terbabit berkata, perkara itu terpakai di seluruh ibu kota termasuk Taman Tasik Titiwangsa.

Mengulas kejadian penjaja tanpa lesen di taman awam itu yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini, katanya, perkara itu sudah disiasat apabila penjaja sudah diberikan notis dan amaran sebelum itu.

"Saya sudah siasat dan ia bukan salah penguat kuasa. Penguat kuasa sudah berikan notis kepada mereka seminggu sebelum itu, malah sehari sebelum kejadian pun mereka sudah diberi amaran tetapi penjaja masih teruskan berniaga.

"Bagi kes ini, saya faham mereka ingin tumpang cari rezeki di situ dan saya sudah meminta Datuk Ibrahim Yusoff (Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL) untuk panggil 40 penjaja terbabit.

"Saya minta adakan rundingan dengan elok dan pulangkan semula barang dirampas bersama 'surat cinta' iaitu "the do's' and the don'ts'" dalam aktiviti terbabit," katanya.

ANNUAR (dua dari kiri) menyampaikan lesen penjaja kepada penjaja, Abdul Hashim Deraman, 46, ketika majlis penyampaian lesen penjaja di Kawasan Perindustrian Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANNUAR (dua dari kiri) menyampaikan lesen penjaja kepada penjaja, Abdul Hashim Deraman, 46, ketika majlis penyampaian lesen penjaja di Kawasan Perindustrian Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Bagaimanapun, beliau meminta DBKL khususnya penguat kuasa supaya berkomunikasi dengan baik bersama penjaja bagi membantu golongan itu mencari rezeki di Kuala Lumpur.

"Mereka (penjaja) ini wujud bersama kemajuan bandar, jadi kita kena sentiasa fikir kepentingan mereka, kesan sosial kepada rakyat dan masyarakat dalam bandar atas setiap tindakan kita (penguat kuasa).

"Penjaja pula janganlah sengaja mencari tempat yang kita sedia maklum ia akan menghalang trafik dan menyebabkan orang awam tidak selesa serta mengadu kepada kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 12:54 PM