GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) tadi, membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata, permohonan bantahan itu dibuat antaranya atas alasan permohonan semakan kehakiman itu adalah terhalang oleh Perkara 150(6) dan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

"Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh pemohon (Anwar). Namun, AGC membantah terhadap permohonan itu dan selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, mahkamah menetapkan 11 Mac untuk pihak-pihak memfailkan hujahan balas," katanya selepas prosiding kes melalui sidang video di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya.

Prosiding itu turut disertai SFC S. Narkunavathy dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali manakala Anwar diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.

Sementara itu, Sangeet ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 25 Januari lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dengan menamakan perdana menteri dan kerajaan sebagai responden.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.

Ketua pembangkang itu juga memfailkan permohonan untuk merujuk empat persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung isu sama (darurat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:16 PM