SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkesan dan simpati dengan keadaan rakyat hari ini. FOTO ihsan Selangor Royal Office
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkesan dan simpati dengan keadaan rakyat hari ini. FOTO ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan tidak mengadakan sebarang istiadat sempena hari keputeraan baginda ke-75 esok, memandangkan negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sultan Sharafuddin bertitah, istiadat penganugerahan dan pengurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa pandemik ini.

"Alhamdulillah, beta bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, beta dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan beta yang ke-75 pada tahun ini.

"Seperti rakyat beta sedia maklum, sepanjang tahun ini, kita diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai dugaan dan cabaran terutama sekali cabaran berdepan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

"Menambah ketakutan dan keresahan kita apabila musuh yang sedang kita hadapi ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar malah mengakibatkan jangkitan ke seluruh dunia," titah baginda sempena ulang tahun hari keputeraan ke-75 baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, sehingga ke hari ini, lebih 67 juta individu dijangkiti Covid-19 malah jumlah kematian sudah melebihi 1.5 juta orang.

"Angka ini akan terus bertambah dari sehari ke sehari dan tentunya amat membimbangkan dan merisaukan kerana kita masih tidak pasti bilakah wabak ini akan berakhir.

"Gejala pandemik Covid-19 ini banyak mengubah corak kehidupan seharian kita sehingga memaksa kita untuk menerima hakikat menjalani kehidupan norma baru di dalam kehidupan," titah baginda.

Baginda bertitah, pandemik ini turut memberi kesan kepada ekonomi yang terjejas teruk, bukan sahaja kepada Malaysia, malah seluruh negara di dunia.

"Keadaan ekonomi negara yang terjejas teruk mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat beta yang terjejas pendapatan mereka, ada yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

"Lantaran itu, sebahagian besar rakyat beta kini menghadapi masalah kesempitan hidup dan kesukaran untuk menampung kos sara hidup seharian.

"Beta amat terkesan dan simpati dengan keadaan kehidupan yang rakyat beta hadapi buat masa ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat dengan sering mengingatkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri supaya menyelami masalah rakyat serta mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat.

"Beta menyeru pemimpin politik turun bersama rakyat bagi mengenalpasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka yang terjejas teruk akibat Covid-19.

"Beta sebagai sultan di negeri ini turut sama merasakan segala penderitaan rakyat dan sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat beta terpelihara," titah baginda.

Sultan Sharafuddin mengharapkan rakyat dapat terus bersabar dan tenang dalam menghadapi segala dugaan ini.

"Sentiasa berdoa kehadrat Allah SWT agar musibah yang menimpa segera diangkat dan dikembalikan semula kehidupan kita seperti sediakala.

"Beta mohon agar rakyat beta yang beragama Islam untuk sentiasa berdoa dan bersolat hajat. Bagi rakyat beta yang bukan beragama Islam, sama-sama berdoa mengikut fahaman agama masing-masing," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin juga menzahirkan penghargaan kepada doktor, jururawat, kakitangan hospital serta petugas barisan hadapan yang melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat lelah bagi merawat pesakit Covid-19 serta mencegah penularan pandemik ini.

"Segala pengorbanan mereka amat beta hargai dan beta mendoakan agar Allah SWT sentiasa memelihara kesihatan petugas barisan hadapan agar tugas dan usaha mereka dapat diteruskan.

"Bagi menghargai jasa mereka yang berkorban ini, beta berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat-pingat negeri Selangor, semoga dengan penganugerahan ini dapat menaikkan semangat petugas barisan hadapan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi," titah baginda.

Baginda juga mengingatkan rakyat supaya terus menjalani kehidupan dengan penuh disiplin dalam norma baharu dan mematuhi dengan ketat SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa.

"Beta berharap risiko jangkitan Covid-19 ini dapat dikurangkan seterusnya penularannya di negara kita dapat dihapuskan.

"Beta berdoa ke hadrat Allah SWT agar negeri Selangor dan rakyat yang beta kasihi sentiasa dipelihara daripada sebarang malapetaka dan musibah," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 11:33 AM