Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kanan) berkenan menyampaikan titah Diraja pada Perasmian Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini.  FOTO BERNAMA
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kanan) berkenan menyampaikan titah Diraja pada Perasmian Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menggesa kerajaan Negeri Sembilan mengutamakan keperluan dan menangani permasalahan rakyat selepas ramai terkesan akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, semua pemimpin dan pihak yang berkaitan perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab supaya matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat serta memajukan negeri terlaksana.

"Usaha untuk memerangi dan memutuskan rangkaian penularan covid-19 masih belum selesai. Justeru komitmen berterusan dari semua pihak penting dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat dibantu.

"Beta berharap prinsip mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri atas perkara yang boleh membawa kebaikan serta manfaat bersama diberikan keutamaan, agar kejayaan yang ingin dicapai dapat direalisasikan," titah baginda pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, di sini, tadi..

Tuanku Muhriz bertitah, walaupun masih menghadapi cabaran dan dugaan khususnya akibat covid-19, namun keharmonian, keselamatan dan keamanan terus dinikmati seluruh rakyat negeri ini.

Baginda melafazkan rasa kagum dengan iltizam dan kesepakatan semua pihak apabila Negeri Sembilan berjaya memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini.

"Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang melaksanakan pelbagai inisiatif dengan penuh komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Beta juga amat menghargai peranan, komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir dalam usaha menangani penularan Covid-19.

"Kini Negeri Sembilan telah mencapai imuniti kelompok (herd immunity) seperti yang kita sasarkan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak sama ada jabatan, agensi, mahu pun sukarelawan yang menyumbang masa dan tenaga dalam merealisasikan matlamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," titah baginda.

Baginda menyifatkan petugas barisan hadapan sebagai insan istimewa yang terus berkhidmat tanpa mengenal erti letih dan lelah.

"Sama-samalah kita prihatin dan membantu mengurangkan beban mereka dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan pandemik ini," titah baginda.

Tuanku Muhriz melahirkan rasa syukur kerana berdasarkan program kesedaran yang berkesan dan pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menyeluruh, jumlah rakyat Negeri Sembilan dewasa yang sudah menerima vaksinasi lengkap dua dos melebihi 80 peratus.

Justeru, baginda mahu semua pihak sama-sama berdoa dan berusaha supaya dugaan ini segera berakhir.

"Beta berharap negeri yang kita kasihi ini terus dilimpahi kemajuan serta kemakmuran yang akan dinikmati oleh sekalian rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama dan politik," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz juga bangga Negeri Sembilan masih terus menjadi pilihan kepada pelabur domestik dan luar negara walaupun hampir kesemua sektor ekonomi dunia terkesan akibat covid-19.

"Bagi tahun 2020, nilai pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sebanyak RM7.93 bilion, berbanding RM6.96 bilion tahun 2019 dan ini adalah pencapaian tertinggi yang pernah dicatatkan.

"Pencapaian ini adalah satu perkembangan yang sangat positif," titah baginda lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:48 PM