Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin mengambil peluang ketika penjelasan di Dewan Rakyat, hari ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjayakan program vaksinasi di negara ini.

Katanya, dia menyanjungi usaha petugas kesihatan dan bukan kesihatan sehingga meletakkan negara hari ini mempunyai kadar vaksinasi yang terpantas dan terbaik.

"InsyaAllah dengan kerjasama dan solidariti berterusan, usaha yang kita sedang jalankan ini mampu mencapai kejayaan memberi perlindungan vaksin kepada seramai mungkin penduduk Malaysia dalam masa terpantas dan sterusnya membolehkan kita keluar dari masa yang sukar ketika ini," katanya sebelum mengakhiri penjelasannya berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Di dalam penjelasannya, beliau turut menyentuh mengenai perjanjian yang ditandatangani dengan jumlah vaksin yang terdapat di dalam portfolio vaksin Covid-19 Malaysia adalah sebanyak lapan jenis daripada enam pembekal yang mencukupi bagi 130.3 peratus populasi Malaysia.

Ia termasuklah Fasiliti COVAX (AstraZeneca, Jannsen, Novavax) sebanyak 10 peratus, Pfizer & BioNTech (70 peratus), AstraZeneca (10 peratus), Sinovac (19.4 peratus), CanSino (10.9 peratus) dan Gamaleya sebanyak 10 peratus.

Khairy di Dewan Rakyat. FOTO petikan siaran RTM
Khairy di Dewan Rakyat. FOTO petikan siaran RTM

"Selain daripada jumlah yang dinyatakan ini, kerajaan juga sedang meneruskan rundingan bersama syarikat pembekal vaksin bagi memastikan bekalan vaksin Malaysia mempunyai jumlah penimbal sekiranya terdapatnya gangguan bekalan ataupun penghantaran daripada mana-mana syarikat pembekal vaksin yang terganggu.

"Ini termasuklah tambahan bekalan vaksin Sinovac sebanyak tiga juta dos yang ketika ini sedang dimuktamadkan.

"Lebihan pembelian melebihi 100 peratus keseluruhan populasi Malaysia ini adalah sebagai simpanan penimbal atau kecemasan bagi kumpulan masyarakat yang tercicir daripada statistik seperti warganegara asing yang tiada dokumen dan juga keperluan pemberian vaksinasi kepada golongan kanak-kanak yang ketika ini masih belum dilaksanakan atau keperluan booster shot yang ketika ini masih diperingkat kajian pelaksanaan dan keperluannya oleh panel pakar di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 12:11 PM