Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bergambar bersama vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba di Kompleks Kargo KLIA. FOTO Ihsan KKM
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bergambar bersama vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba di Kompleks Kargo KLIA. FOTO Ihsan KKM
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Malaysia bakal menghasilkan sendiri picagari jenis 'low dead-volume' yang menjadi komponen penting dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penghasilan itu untuk menyokong keperluan 12 juta picagari berkenaan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Picagari jenis itu bagi mengelakkan pembaziran dos vaksin Pfizer-BioNTech.

"Kita perlu mempercepatkan penghasilan picagari ini. Ketika ini, kita mendapatkannya daripada syarikat yang menghasilkannya di luar negara.

"Justeru, kita akan bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang akan membantu dari segi teknologi bagi memastikan penghasilan picagari itu selaras dengan kualiti picagari yang dihasilkan negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Khairy berkata, picagari low dead-volume menjadi keperluan memandangkan ia boleh memaksimumkan penggunaan jumlah dos daripada sebotol bebuli (vial) vaksin.

"Untuk vaksin Pfizer, dalam satu bebuli ada enam dos. Dos keenam itu hanya boleh diambil dengan menggunakan picagari low dead-volume.

"Banyak negara lain sebelum ini terpaksa membazirkan satu dos daripada setiap satu bebuli kerana tiada picagari low dead-volume untuk mengambilnya.

"Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat perancangan awal untuk memastikan Malaysia memiliki jumlah picagari low dead-volume yang mencukupi untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.

Sebelum ini, Dr Adham dilaporkan berkata, KKM memerlukan 12 juta picagari jenis low dead-volume bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama program imunisasi yang akan bermula Rabu ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 3:15 PM