PERSIDANGAN DUN Perak, kelmarin. FOTO ihsan SUK Perak
PERSIDANGAN DUN Perak, kelmarin. FOTO ihsan SUK Perak
BERNAMA

Ipoh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan bersambung Rabu ini tidak akan dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dilantik, kata Yang Dipertua DUN Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Mohamad Zahir berkata, jika tiada menteri besar dilantik sebelum tarikh berkenaan, usul penangguhan persidangan DUN perlu dibuat pada hari tersebut.

"Katakan kerajaan tidak terbentuk bila sambung persidangan pada 2.30 petang Rabu ini, saya akan minta seorang ahli DUN (ADUN) bangun untuk mengemukakan usul supaya persidangan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu dengan pembentangan Belanjawan 2021 negeri sebelum bersambung semula pada Selasa hingga Jumaat depan.

Bagaimanapun, susulan kemelut politik yang tercetus pada Jumaat lalu, Mohamad Zahir menangguhkan persidangan hingga Rabu ini.

Pada Jumaat lalu, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun, speaker membenarkan pembentangan usul 'keyakinan ADUN terhadap menteri besar' yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dilaporkan berkata beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin hari ini dipetik bertitah memperkenankan peletakan jawatan Ahmad Faizal dan barisan Exco negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Zahir menjelaskan menteri besar baharu perlu memberi notis kepada DUN untuk menyambung persidangan dalam tempoh 14 hari selepas pelantikannya dan persidangan pula hanya boleh bermula selepas dua minggu notis diterima oleh DUN.

Berita berkaitan

  • Sultan Perak perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal
  • Kerajaan PN Perak mesti dikekalkan - Umno
  • Ahmad Faizal berharap PN Perak tidak berpecah-belah
  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?
  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi
  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu
  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'
  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN
  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah
  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:49 PM