Beg dompet berisi peluru, kelongsong peluru dan pil dipercayai dadah dirampas anggota PGA8 di Kampung Aur China, Slow Machang, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA8
Beg dompet berisi peluru, kelongsong peluru dan pil dipercayai dadah dirampas anggota PGA8 di Kampung Aur China, Slow Machang, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA8
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Seorang penganggur ditahan anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA8) kerana memiliki sebutir peluru dan kelongsong peluru selain pil dipercayai dadah di Kampung Aur China, Slow Machang, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, dalam kejadian 10.15 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan berkereta sebelum terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mendekati suspek berusia 20 an itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum memeriksa tubuh suspek.

"Anggota menjumpai dompet berwarna coklat di poket bahagian belakang seluarnya yang berisi sebutir peluru dan kelongsong peluru jenis SME 2-10.

"Selain itu, turut ditemui satu tiub straw yang didalamnya mengandungi pil kemerahan dipercayai dadah. Suspek turut mengakui menyimpan peluru terbabit sebagai koleksi peribadi.

"Semua barangan bernilai RM60 itu dirampas dan lelaki berkenaan ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi membuat siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Muhammad berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang jika sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:04 PM