Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Lelaki disyaki pengedar dadah menanam sejumlah 50.9 gram syabu di belakang rumah di Taman Sri Kenerak, Pasir Mas dengan harapan selamat daripada dikesan pihak berkuasa.

Namun taktiknya tetap kecundang apabila pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) mengekorinya dan menyerbu kediaman itu pada 7.30 malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGA8 Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, suspek berusia 31 tahun cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan anggotanya sebelum lelaki itu mengaku ada menyimpan barang larangan di rumah terbabit.

"Bagaimanapun pemeriksaan anggota di seluruh bahagian rumah tidak menemui apa-apa barang salah dan suspek kemudian menunjukkan tempat timbusan dadah di laman belakang.

"Selepas digali anggota menemui satu plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu bernilai RM5,090. Dadah itu dibawa bersama suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Turut dirampas kereta jenis Honda Jazz milik suspek," katanya ditemui di Markas Taktikal Briged Tenggara PGA di Lubok Stol di sini, hari ini.

SUPERINTENDAN Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan dadah jenis syabu di belakang halaman rumah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SUPERINTENDAN Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan dadah jenis syabu di belakang halaman rumah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mat Shukor berkata, pihaknya percaya dadah dirampas untuk pasaran Pasir Mas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau turut berkongsi kejayaan pihaknya menumpaskan penyeludupan 13 lembu bernilai RM136,500 di sebuah kandang di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada 30 Ogos lalu.

"Pihak kami turut menahan dua lelaki yang bertanggungjawab membawa kesemua lembu ke kandang berkenaan. Semakan ke atas dokumen dan surat perjalanan didapati meragukan kerana alamat kandang yang tidak sama dengan surat kebenaran memindah ternakan.

"Kesemua ternakan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:11 PM