Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun dijatuhi hukuman penjara 10  tahun dan 14 sebatan  di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu  atas pertuduhan  merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 14 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 14 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 68 tahun itu didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober 2022.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang ketika kejadian berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan serta dua tahun penjara dan dua sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu dan dua berjalan serentak manakala hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 5:28 PM