PASUKAN bomba menyelamatkan dua lelaki apabila ‘pelantar’ dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal. FOTO Juwan Riduan
PASUKAN bomba menyelamatkan dua lelaki apabila ‘pelantar’ dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua pekerja mengecat bangunan sebuah hotel terkemuka di sini, berdepan detik cemas apabila 'pelantar' dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal sehingga tersangkut di tingkat lapan bangunan itu, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, dua pekerja berusia 35 dan 38 tahun berkenaan diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.54 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) serta 11 anggota dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kedua-dua mangsa masih tersangkut pada 'pelantar' di tingkat lapan pada bahagian luar bangunan berkenaan.

"Bomba terpaksa mendapatkan bantuan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk membantu menurunkan kedua-dua mangsa ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ordine berkata, operasi menyelamatkan mangsa dimulakan pada 4.15 petang sebelum kedua-dua mereka berjaya diturunkan 19 minit kemudian.

Katanya, operasi ditamatkan pada 4.37 petang selepas semua keadaan peralatan dan mangsa dipastikan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:16 PM