GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TERTARIK dengan tawaran gaji RM12,500 sebulan, seramai 11 lelaki warga asing sanggup bersekongkol dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang mampu mengaut keuntungan RM45,000 sehari.

Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 21 hingga 43 tahun yang beroperasi sejak Februari lalu terbongkar selepas sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama pegawai dari Bukit Aman menyerbu dua rumah di Damansara Foresta, Persiaran Meranti PJU 9, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan secara berasingan bermula jam 12.30 tengah hari dan 3 petang itu dilakukan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti penipuan pelaburan dalam talian.

Menurutnya, polis merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelaburan dalam talian secara haram iaitu 52 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit pendrive dan empat unit komputer riba pelbagai jenama.

"Siasatan awal polis mendapati, sindiket mula beroperasi sejak Februari dan menjalankan aktiviti pelaburan 'bitcoin' serta pelaburan dalam talian dengan menggunakan laman sesawang vip.9199299.com dengan mensasarkan mangsa di China.

"Mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 6:30 PM