NURUL Fadhilah membersihkan bahagian dapur dan peralatan di rumahnya yang dilanda banjir. FOTO Malik Muhamad
NURUL Fadhilah membersihkan bahagian dapur dan peralatan di rumahnya yang dilanda banjir. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad

Kuala Nerus: Penduduk Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak yang terjejas banjir, mula membersihkan rumah masing-masing selepas air mulai surut sejak malam tadi.

Tinjauan mendapati, penduduk terbabit mula membersihkan bahagian rumah yang dimasuki air sejak Rabu lalu.

Penduduk yang menjalankan perniagaan makanan secara 'cash on delivery' (COD), Nurul Fadhilah Mustaffa, 29, berkata, dia lega apabila banjir mulai surut, sekali gus membolehkan bahagian rumah yang dimasuki air dapat dibersihkan sebelum kembali memulakan perniagaan.

"Ini pengalaman pertama saya mengalami situasi ini selepas membuat keputusan tinggal bersama ibu bapa. Sebelum ini saya membuka restoran di Kulim, Kedah bersama suami, Mohd Erwan Yahya.

"Syukur kerana air hanya memasuki ruang dapur dan bilik air sahaja menyebabkan saya tidak berpindah ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS).

"Cuma sedikit sukar kerana banyak cacing selain bimbang kehadiran ular kerana sebelum ini pernah terjumpa haiwan itu," katanya.

Penduduk, Ahmad Fauzi Yusof, 45, berkata, walaupun kali ini banjir tidak memasuki rumahnya berbanding lebih 1 meter pada 2014, dia perlu membersihkan beberapa bahagian yang ditenggelami air.

"Alhamdulillah, kali ini air tidak memasuki rumah, tapi saya perlu bersihkan lantai stor, bilik air dan ruang letak kereta.

"Harapan saya dan penduduk di TDTD agar projek tebatan banjir yang tertangguh sebanyak tiga kali dapat segera disiapkan demi keselesaan penduduk selain meminta pihak berkuasa membina longkang besar konkrit dan berpagar bagi mengelak hakisan," katanya.

Tinjauan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak mendapati sehingga petang ini hanya lima keluarga membabitkan 10 mangsa banjir masih berada di situ manakala lapan keluarga sudah pulang ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:52 PM