Kuala Terengganu: Hampir 5,000 penduduk Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak, dekat sini berada dalam keadaan berjaga-jaga jika diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ini berikutan kawasan penempatan mereka yang didiami sejak 2011 itu mula dilanda banjir.
Tinjauan NSTP di taman terbesar di Kuala Nerus itu pada petang dan malam ini mendapati penduduk mula memindah barangan dan dokumen ke tempat lebih selamat.
Seorang penduduk, Mustaffa Husin, 71, berkata, dia sudah bersedia untuk berpindah jika diarahkan pihak berkuasa biarpun ia bagaikan 'acara tahunan'.
"Saya sudah menjangkakan taman ini akan dinaiki air banjir kerana sudah enam kali ia berlaku.
"Namun, kami belajar dari pengalaman lalu dengan memindahkan barangan elektrik serta dokumen penting ke tempat lebih selamat dalam rumah," kata pesara tentera itu ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mamut Harun, 71, berkata, jika boleh dia enggan berpindah.
Namun, katanya, memandangkan laluan utama sudah dinaiki air dan kenderaan kecil sudah tidak boleh dilalui dia akur jika diarah berpindah.