AIR banjir mula melimpah masuk di Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kuala Nerus menyebabkan penduduk bimbang tragedi 2014 kembali berulang. FOTO MALIK MUHAMAD
AIR banjir mula melimpah masuk di Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kuala Nerus menyebabkan penduduk bimbang tragedi 2014 kembali berulang. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Nerus: Penduduk di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak (TDTD), di sini, berharap Projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring, dapat disiapkan segera bagi mengatasi banjir di kawasan itu.

Projek berkenaan sepatutnya siap tahun ini, tetapi sudah tiga kali tertangguh sejak 2018.

Ia menyebabkan kawasan taman berkenaan kerap dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.

Seorang penduduk, Mustaffa Husain, 68, berkata, dia sudah lali dengan situasi banjir itu, namun berharap situasi ini kembali pulih dan ada penyelesaian segera daripada pihak berwajib.

"Amat sukar jika terpaksa berpindah kerana saya mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU), apatah lagi ketika pandemik Covid-19 ini sudah tentu lebih menyukarkan.

"Besar harapan saya projek tebatan banjir itu dapat disiapkan disegerakan bagi menjaga kebajikan penduduk taman ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan itu mula dinaiki air selepas hujan berterusan sejak pagi tadi.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan penduduk mula berkemas dan bersiap sedia jika ada arahan untuk berpindah, selain memindahkan kenderaan ke tempat lebih selamat

Sementara pengerusi persatuan penduduk Wahab Salleh, 61, berkata, setiap hujung tahun, penduduk di taman itu sentiasa berpindah akibat banjir selain laluan utama terputus.

"Biasanya kalau hujan lebih empat jam kami terpaksa pindah, jadi kami berharap projek tebatan itu dapat disiapkan segera bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.

Projek tebatan banjir yang menelan kos sebanyak RM87 juta sepatutnya siap pada 2018.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan sehingga 2019, dan sehingga kini ia belum siap sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:23 PM