YAHYA AHMAD
YAHYA AHMAD
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan semua kadi daerah mengambil langkah berjaga-jaga, segera dan tegas dalam membendung penularan Covid-19 di masjid dan surau negeri ini.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata, titah itu disampaikan baginda ketika beliau menghubungi Sultan Ibrahim bagi menyembah maklum maklumat mengenai terdapat ahli jawatankuasa, pegawai atau jemaah di beberapa masjid atau surau di beberapa daerah negeri ini yang disahkan positif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, Yahya berkata, baginda berkenan menerima maklum dan menitahkan supaya semua kadi daerah sentiasa merujuk pegawai kesihatan daerah dan pegawai daerah untuk mengenal pasti kawasan, kampung atau taman perumahan yang ada jangkitan Covid-19.

"Sultan Ibrahim menitahkan mana-mana masjid atau surau yang terdapat ahli jawatankuasa, pegawai atau jemaah yang disahkan positif Covid-19 hendaklah diarahkan supaya rumah ibadat berkenaan segera disanitasi.

"Jika keadaan berkenaan dibimbangi boleh menyebabkan penularan Covid-19, kadi daerah boleh mengarahkan supaya masjid atau surau terbabit mengehadkan kehadiran jemaah untuk solat fardu atau solat Jumaat," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Yahya, jika keadaan lebih kritikal serta dibimbangi penularan sukar dikawal, kadi daerah juga boleh mengarahkan supaya masjid atau surau berkaitan ditutup untuk tempoh yang munasabah supaya tindakan pembendungan boleh diambil sehingga keadaan di kawasan berkenaan kembali pulih.

"Manakala jemaah di kariah terjejas itu hendaklah diarahkan supaya mengerjakan solat di rumah sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, Yahya berkata, Sultan Ibrahim juga menitahkan kadi daerah supaya terus mempergiatkan dalam memberi peringatan supaya ahli jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), KMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

"Segala tindakan dan arahan dikeluarkan kadi daerah juga hendaklah dimaklumkan segera kepada saya selaku Mufti Johor dan JAINJ untuk tindakan susulan.

"Bersama-samalah kita terus bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT moga pandemik Covid-19 segera berakhir, juga moga negeri dan negara kita dilindungi daripada apa jua musibah, wabak dan penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:03 PM