BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 888,000 pekerja warga asing di enam kawasan berisiko tinggi perlu menjalani saringan Covid-19 yang dimulakan sejak Selasa lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 100,000 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) akan diedarkan ke kawasan berkenaan iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah serta Labuan.

"Bagi 48 jam pertama pelaksanaan saringan itu, 367 klinik swasta dan hospital swasta di kawasan terbabit telah mendaftar diri untuk program berkenaan.

"Pada tempoh sama, 19,975 RTK-Ag telah diedarkan untuk digunakan bagi saringan pekerja asing," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan lebih banyak kit ujian saringan Covid-19 untuk digunakan dalam saringan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan KSM akan melaksanakan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula 1 Dis lepas (Selasa).

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Turut dilaporkan bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:11 PM