Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sebanyak 28 kilang Top Glove di Kapar, Selangor akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kilang berkenaan.

"Sebanyak 1,067 kes dilaporkan di kawasan itu, hari ini dan pelaksanaan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dengan kerjasama pengurusan syarikat Top Glove," katanya.

Anggota polis, RELA dan ATM berkawal di pintu masuk ke asrama wanita Top Glove pada PKPD.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Anggota polis, RELA dan ATM berkawal di pintu masuk ke asrama wanita Top Glove pada PKPD. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban selama 14 hari bermula esok sehingga 7 Disember ini.

"Ia akan meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 penghuni," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti sama ada seorang penyanyi yang dijangkiti Covid-19, semalam ketika membuat persembahan atau berada di luar.

"Difahamkan, dia dijangkiti ketika berada di luar. Dari segi penangguhan acara dan sebagainya, hiburan ini di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jadi saya akan bawa ke kementerian itu untuk mereka pertimbangkan sama ada perlu menangguhkan atau tidak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:34 PM