Operasi anggota memindahkan mangsa banjir di kawasan Ijok. FOTO IHSAN APM PERAK
Operasi anggota memindahkan mangsa banjir di kawasan Ijok. FOTO IHSAN APM PERAK
BERNAMA

Ipoh: Banjir kilat yang melanda empat daerah di Perak bertambah baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang daripada 736 pada jam 6 pagi kepada 199 orang setakat jam 1 tengah hari, hari ini.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, empat PPS ditutup dengan tiga daripadanya di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) iaitu Masjid Toh Paduka, Ijok; Dewan Semai Bakti, Felda Ijok dan dewan orang ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau.

Katanya, kesemua 522 mangsa banjir yang ditempatkan di ketiga-tiga PPS itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir pulih dan keadaan selamat.

"Sebuah lagi PPS yang ditutup ialah di daerah Hilir Perak iaitu Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan selepas kesemua 15 penduduk mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu, hanya terdapat dua PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di Bagan Serai dalam daerah Kerian yang menempatkan 152 orang daripada tujuh kampung, antaranya Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis dan Kampung Parit Abu Hassan Ban.

Sebuah lagi PPS yang masih dibuka ialah di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang dalam daerah LMS yang menempatkan seramai 46 mangsa banjir.

"Cuaca di Bagan Serai ketika ini hujan manakala di sekitar Taiping baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:53 PM