TIMBALAN Presiden ANGKASA Bhd, Datuk Kamaruddin Ismail (kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Mat Taridin Mat Amin pada program Tanggungjawab Sosial Koperasi ANGKASA Coop Care bantuan golongan asnaf dan Ibu tunggal di PPR Kampung Baru Air Panas. FOTO ROHANIS SHUKRI.
TIMBALAN Presiden ANGKASA Bhd, Datuk Kamaruddin Ismail (kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Mat Taridin Mat Amin pada program Tanggungjawab Sosial Koperasi ANGKASA Coop Care bantuan golongan asnaf dan Ibu tunggal di PPR Kampung Baru Air Panas. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Penularan pandemik Covid-19 memberi kesan besar termasuk dalam kalangan golongan asnaf di ibu negara.

Bagi peniaga, Yasman Pakeh, 63, pendapatannya terjejas teruk sejak penularan pandemik itu sehingga menjejaskan modal pusingan untuk berniaga.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia kini bergantung kepada bantuan daripada pelbagai pihak selain menerima bantuan daripada Baitulmal.

"Memang teruk berniaga sekarang ini. Tak ada pelanggan. Bila pelanggan terjejas, kita juga terjejas.

"Sampaikan nak beli beras pun tak mampu kerana saya juga perlu menanggung keluarga," katanya ditemui pada majlis sumbangan Coop Care Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad hari ini.

Seorang lagi penerima, Normala Nursai, 36, berkata, bantuan yang diberikan Angkasa itu sangat bermakna kerana dia tidak bekerja malah menjaga bapanya yang uzur serta dua saudara orang kurang upaya (OKU).

Katanya, keadaan ketika ini benar-benar menguji dirinya yang sebelum ini berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

"Selepas ibu meninggal, ayah pula uzur. Jadi saya perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga bapa dan adik serta abang OKU.

"Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan, saya berdoa supaya selepas ini, keadaan akan bertambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 5:11 PM