PENIAGA makanan, Mohamad Fauzi Darus, 38, mengikuti siaran langsung pegumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) ketika berniaga di Pelabuhan Klang.
PENIAGA makanan, Mohamad Fauzi Darus, 38, mengikuti siaran langsung pegumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) ketika berniaga di Pelabuhan Klang.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan kerajaan mampu menjana pendapatan rakyat pelbagai peringkat.

Selain itu, ia juga platform terbaik untuk semua pihak memulihkan ekonomi dan sara hidup masing-masing mengikut kesesuaian.

Memahami ramai berdepan masalah kewangan pada masa ini, kerajaan mengumumkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bernilai RM4.9 bilion hingga hujung tahun serta pemberian Bantuan Khas Covid-19 (BKC) kepada isi rumah dan golongan bujang dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

Sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Bagi membantu golongan kurang upaya yang kehilangan pekerjaan atau ketiadaan kerja dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, kerajaan turut memberikan bantuan kewangan RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan yang memanfaatkan 20,000 orang kurang upaya (OKU).

Langkah kerajaan membantu kelangsungan hidup rakyat itu disambut baik pelbagai pihak.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM), Azman Kang Abdullah berkata, negara melalui fasa paling sukar ketika ini apabila ramai berhadapan dengan masalah kewangan akibat kehilangan pekerjaan dan tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa.

Katanya, dengan adanya bantuan untuk semua golongan termasuk M40 serta T20, ia menjadi faktor penentu kepada tingkat hidup masyarakat yang sudah setahun melalui normal baharu akibat pandemik.

"Dari segi pengguna, kita lihat Pemulih amat signifikan kerana semua lapisan masyarakat termasuk dalam bantuan kali ini.

"Ia penting untuk mereka yang benar-benar terjejas atau mereka yang ada lebih untuk membantu.

"Bantuan ini akan mengubah keadaan kepada yang lebih baik sementara kita berusaha keluar daripada wabak ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Amal Global Care Revival (Amal Revival), Ahmad Fahmi Mohd Hussain berkata, bantuan RM15 juta kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan perlu digunakan sebaiknya.

Katanya, ia menunjukkan peranan mereka membantu kerajaan selama ini diiktiraf dan terbukti berkesan.

"Kita berterima kasih dengan bantuan ini serta kesungguhan kerajaan membantu golongan sasar.

"Namun kita harap pihak berwajib tampil dengan mekanisme bagaimana untuk pastikan penyediaan barangan dan agihan berjalan dengan baik," katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:10 AM