SHAHARUL Razi menyampaikan sumbangan pada Rusli di rumahnya,  hari ini.
SHAHARUL Razi menyampaikan sumbangan pada Rusli di rumahnya, hari ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Kesempitan hidup dialami warga emas, Rusli Sabudin, 73, yang terpaksa menjaga anak kurang upaya (OKU) walaupun dirinya sendiri uzur mendapat perhatian selepas kisahnya disiarkan Harian Metro minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selgate, Shaharul Razi Amran berkata pihaknya berasa terpanggil untuk membantu selepas terbaca kisah berkenaan keperitan hidup ditanggung Rusli dan anaknya.

"Hari ini kita datang bawa bantuan barang keperluan harian seperti beras, dan minyak masak serta keperluan lain yang dijangkakan boleh tahan sehingga tiga minggu.

"Cuma untuk barang basah kami risau siapa nak masak sebab Rusli sendiri tak larat… jadi kami akan cari jalan lain, mungkin buat masa sekarang cari mana-mana kedai yang boleh bayar dan hantar makanan siap masak.

"Tadi kami jumpa mereka kami nilai dahulu apa keperluan dan bantuan yang diperlukan seterusnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, selain barang keperluan bernilai RM300 berkenaan pihaknya dalam perancangan untuk membaiki kediaman Rusli termasuk kerosakan bumbung yang dianggar menelan belanja antara RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, untuk jangka masa panjang pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti jenis bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada Rusli dan anak istimewanya.

"Kalau boleh kami nak tempatkan Rusli di pusat jagaan supaya ada orang jaga, ada kawan tetapi kita pun tak nak pisahkan dia dan anaknya.

"Susah juga kalau tiada orang jaga anak dia, jadi kita boleh cari mana tempat yang sesuai…kita risau nanti kalau mereka terus tinggal di rumah ini jika berlaku apa-apa orang tak tahu," katanya.

Shaharul berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik bagi membantu Rusli yang uzur dan tidak lagi mampu untuk bergerak apatah lagi menjaga seorang anak OKU.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Rusli nekad menghubungi aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk meminta bantuan kerana sudah tidak mampu menguruskan diri.

Rusli terpaksa mengambil jalan 'akhir' itu selepas tidak tahu lagi bagaimana untuk meneruskan hidup dalam keadaan uzur selepas menderita diabetes dan sakit badan sejak lebih 10 tahun lalu.

Dia juga terpaksa menjaga anak OKU berseorangan selepas pemergian isterinya dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 12:14 AM