(DARI KIRI) Nurul Rasyidahti Abdul Halim, Muhd Nurhakim Baharudin, dan Amiera Azrien.
(DARI KIRI) Nurul Rasyidahti Abdul Halim, Muhd Nurhakim Baharudin, dan Amiera Azrien.
ANTARA pengunjung yang hadir pada hari pembukaan BNYouth Job Fair, kelmarin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA pengunjung yang hadir pada hari pembukaan BNYouth Job Fair, kelmarin. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Karnival kerjaya BN Youth Job Fair 2022 (BNYJF'22) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, menerima kehadiran lebih 32,000 pencari kerja dari seluruh negara.

Karnival anjuran Sekretariat Ekonomi Pemuda Umno Malaysia dan Pemuda Barisan Nasional (BN) itu adalah sebahagian usaha membantu belia termasuk graduan muda dan individu terjejas Covid-19 bangkit semula mencari pekerjaan.

Nurul Rasyidahti Abdul Halim, 24, yang baru tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak mahu melepaskan peluang mencari kerja selain mahu menimba pengetahuan mengenai bidang pekerjaan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Perancis itu tidak menyangka banyak peluang kerjaya yang ditawarkan kepada mereka yang belum mempunyai pengalaman kerja.

"Sebenarnya banyak peluang kerjaya terbuka kepada anak muda seperti kami yang baru habis belajar. Malah, saya juga dapat banyak maklumat mengenai syarikat dan jawatan kerja yang sebelum ini saya tidak pernah tahu pun.

"Saya sendiri serah lebih 10 'resume' kepada syarikat pempamer di sini dan berharap ada peluang kerja untuk saya nanti," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Lebih 20,000 tawaran pekerjaan menanti pemohon dalam karnival yang bermula Jumaat sehingga hari ini.

BNYJF'22 bukan saja menawarkan peluang kerjaya, malah permohonan bagi pembiayaan perniagaan kecil-kecilan kepada anak muda yang menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, Muhd Nurhakim Baharudin 26, dari Shah Alam, Selangor, meluangkan masa lebih empat jam di karnival berkenaan untuk mencari peluang kerja selepas dua tahun menganggur akibat pandemik Covid-19.

Dia yang menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, banyak tawaran kerja yang sudah dimintanya sebelum ini, namun belum mendapat peluang itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah berputus asa dan berharap berjaya mendapat kerja suatu hari nanti.

"Saya dapat tahu mengenai karnival ini daripada ibu saya dan datang ke sini untuk mencuba nasib. Saya pergi hampir kesemua ruang pameran dan hantar 'resume.' Ada juga syarikat yang minta isi borang dan mereka akan panggil temuduga.

"Saya tidaklah memilih kerja, namun amat meminati bidang pengurusan dan sumber manusia selain bidang undang-undang," katanya.

Bagi Amiera Azrien, 26, dari Ampang, Selangor yang kini bekerja sebagai pengedar produk kecantikan, banyak peluang kerjaya terbuka kepada golongan belia sepertinya.

Katanya, dia pernah bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah bank dan terpaksa berhenti kerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

"Saya dah mohon banyak kerja di karnival ini dengan harapan ada peluang kerja untuk saya nanti. InsyaAllah jika ada rezeki saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 4:54 PM