GAMBAR kecil adalah foto mangsa. Gambar aksi menikam itu adalah foto hiasan.
GAMBAR kecil adalah foto mangsa. Gambar aksi menikam itu adalah foto hiasan.
Junaidi Ladjana dan Norasikin Daineh


MARAH kerana mengesyaki bapanya mempunyai hubungan intim dengan isterinya, seorang lelaki menikam ayahnya sehingga maut di Kampung Sungai Gading Wakuba, dekat Tawau, hari ini.

Mangsa, Ali Nordin, 56, disahkan meninggal dunia di ruang tamu rumah berkenaan, dalam kejadian kira-kira 3 pagi.

Menurut sumber-sumber, ketika kejadian mangsa dikatakan mengunjungi rumah anaknya yang kemudian berlakunya pertengkaran antara suspek dengan mangsa.

"Selepas itu, tercetus pergaduhan antara mereka sebelum suspek dikatakan menikam bapanya menggunakan senjata tajam.

"Suspek kemudian keluar dari rumah itu dan menikam pula dirinya sendiri di bahagian perut," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, suspek yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan manakala bapanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Polis turut menemui satu pisau dan parang yang dipercayai digunakan suspek.

"Kejadian dipercayai berikutan suspek mengesyaki bapanya (mangsa) mempunyai hubungan intim dengan isterinya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

"Suspek berusia 27 tahun kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tawau kerana mengalami pendarahan teruk pada bahagian perut.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek disyaki dibawah pengaruh dadah ketika kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:30 PM