GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sebanyak 542,523 ujian saringan Covid-19 dibuat di Sabah sejak 1 Februari lalu dengan 23,095 kes positif dikesan di seluruh negeri sehingga semalam.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di Sabah pula ialah 1.03 berbanding kurang 1.0 bagi seluruh negara.

"Maksudnya seorang kes positif boleh menjangkiti seorang lagi individu lain atau kontak rapat," katanya ketika menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (Warisan-Elopura) mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Hajiji berkata, bagi bilangan sampel dalam makmal, sebanyak 3,755 sampel masih dalam proses ujian setakat semalam.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan bilangan sampel dalam makmal.

"Sampel diproses di tiga makmal iaitu Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Universiti Malaysia Sabah dan Makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kapasiti 2,700 sampel sehari dan 'outsourcing' ke makmal swasta di Sabah," katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan belum berhasrat membina sebuah hospital tambahan bagi menampung pesakit Covid-19.

"Pada masa ini, ada 11 hospital kerajaan menjadi hospital rawatan Covid-19 untuk merawat kes tahap tiga hingga lima.

"Hospital terbabit ialah HQE, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau, Hospital Kota Marudu, Hospital Kudat, Hospital Semporna, Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Tambunan.

"Bagi menangani kes Covid-19 tahap satu dan dua, sebanyak 35 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid dibuka," katanya.

Menurutnya, Hospital Medan di Tawau yang dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia turut membantu memenuhi keperluan rawatan pesakit di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 5:42 PM