Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menahan seorang pemandu lori selepas menemukan 980 bungkusan air ketum yang dianggarkan bernilai RM12,315 di Jalan Sungai Pinang, di sini, semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika ditahan, lelaki berkenaan sedang dalam perjalanan bagi menghantar bekalan air ketum di sekitar daerah berkenaan yang dijual pada harga RM5 sebungkus.

"Penahanan pemandu lori itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dipercayai menjadi lokasi memasak air ketum.

"Pemeriksaan di rumah persendirian itu menemukan 144 bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi daun ketum yang dianggarkan seberat 741.5 kilogram dengan peralatan memasak daun ketum.

"Kegiatan itu dipercayai sudah bermula sejak tiga bulan lalu dan air ketum dipercayai bagi dipasarkan di sekitar kawasan daerah Timur Laut," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Soffian berkata, susulan itu polis sedang mengesan seorang wanita berusia 40-an yang juga pemilik rumah terbabit dipercayai menjadi 'tukang masak air ketum'.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori dari Bayan Lepas itu didapati negatif daripada pengambilan bahan terlarang, namun mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Lelaki itu direman sehari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5)Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10, 000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Antara bungkusan air ketum yang dirampas polis. FOTO Danial Saad
Antara bungkusan air ketum yang dirampas polis. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 4:11 PM