Penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan  Diperketatkan menunggu untuk menerima bantuan bakul makanan. FOTO SAMADI AHMAD
Penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan menunggu untuk menerima bantuan bakul makanan. FOTO SAMADI AHMAD
Oleh Samadi Ahmad


Sepang: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyalurkan 141 bakul makanan kepada penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid berkata, bantuan itu mula disalurkan kelmarin dan diberikan berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan penduduk.

Katanya, rata-rata pemohon yang menerima bantuan terdiri daripada penghuni yang bekerja menerima gaji harian dan terputus sumber kewangan untuk membeli barang keperluan.

"Permohonan penduduk ini akan diteliti oleh JKM supaya individu yang benar-benar layak menerima bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zain berkata, bakul makanan keperluan harian itu mengandungi beras, gula, tepung dan barangan kering.

Katanya, penyaluran bantuan itu tidak hanya terhad kepada rakyat negara ini sahaja, malah ia diagihkan kepada warga asing yang mendiami kawasan terbabit.

Medan 88 dikenakan PKPD bermula 12 hingga 25 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 5:45 PM