PETUGAS KKM membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika tinjauan PKPD di Medan 88. FOTO Eizairi Shamsudin
PETUGAS KKM membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika tinjauan PKPD di Medan 88. FOTO Eizairi Shamsudin
Samadi Ahmad

Sepang: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada penduduk di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terbabit.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya bersedia membantu penduduk yang mengalami masalah emosi ketika berhadapan PKPD yang berlangsung hingga 25 November ini.

Katanya, pihaknya turut menyelaraskan sumbangan makanan dan keperluan harian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.

"Setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan berkaitan terputus bekalan makanan kerana PKPD ini baru memasuki hari kedua dan penduduk masih mempunyai bekalan makanan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan makanan kepada petugas barisan hadapan di Medan 88, hari ini.

RINA (kanan)  menyerahkan sumbangan kepada wakil Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd Al-Hafiz Mohd Zahari. FOTO Luqman Hakim Zubir
RINA (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd Al-Hafiz Mohd Zahari. FOTO Luqman Hakim Zubir

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid.

Rina berkata, pihaknya turut menyediakan keperluan khas bagi wanita dan kanak-kanak seperti susu dan lampin pakai buang yang boleh dipohon melalui pegawai JKM bertugas di kawasan PKPD itu.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang tempoh PKPD, kedai barangan keperluan harian di Medan 88 dibenarkan beroperasi bagi membolehkan penduduk membeli barangan keperluan.

"Namun, penduduk terjejas juga diingatkan untuk menjaga keselamatan diri dengan mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 5:52 PM