Samadi Ahmad

Sepang: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal dikesan untuk membuat saringan Covid-19.

Pengerusinya, Mohamad Zain A Hamid, berkata bilangan mereka yang didapati tidak pulang ke kediaman di situ diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu pada 6 petang, Selasa lalu.

Menurutnya, pihaknya mengubah strategi untuk mengepung awal kawasan itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diisytiharkan bagi mengelakkan penduduk lari daripada melakukan ujian saringan.

Katanya, antara 700 hingga 800 penduduk tinggal di kawasan itu dan pihaknya sedang mengesan penduduk yang hilang melalui rakan sebilik, jiran serta aplikasi MySejahtera.

"Kita merayu penduduk yang tidak pulang kembali membuat saringan kerana perkara ini membabitkan kesihatan bagi mengelak berlakunya kluster baharu di luar kawasan," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Daerah Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Sepang Dr Nasir Mohd Habibdan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pusat perniagaan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dikenakan PKPD sehingga 25 November.

PKPD ini membabitkan sebanyak 284 premis serta 800 penduduk.

Mohamad Zain berkata, sehingga semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyelesaikan sebanyak 399 saringan, manakala ujian kedua akan diadakan pada hari ke-13 nanti.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Sepang berkata, kawasan itu dikenakan pelaksanaan PKPD kerana terdapat dua kes awal positif Covid-19 dalam kluster Bah Medan pada 4 Oktober lalu.

Katanya, seramai 43 daripada 133 penduduk disaring sebelum PKPD dilaksanakan dikesan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

"Kita menggesa penduduk yang tidak pulang membuat saringan termasuk di pusat kesihatan berdekatan.

"Sekiranya gagal berbuat demikian dan dapat dikesan polis, mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 2:03 PM