BAPA tiri Mohamad Danish, Isma Wahyumi Zulkifli turut berada di lokasi pencarian mangsa di Pos Kawalan Bomba, Taman Bukit Teratai, Ampang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
BAPA tiri Mohamad Danish, Isma Wahyumi Zulkifli turut berada di lokasi pencarian mangsa di Pos Kawalan Bomba, Taman Bukit Teratai, Ampang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Mohd Azam Shah Yaacob


USAHA mencari kanak-kanak lelaki, Mohamad Danish Supri Antony, 9, yang hilang dihanyut arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bukit Permai, Ampang pada Selasa lalu, kini diperluas sehingga ke Sungai Kerayong dan Sungai Klang.

Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari keempat hari ini turut membabitkan 19 anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, Mohd Faizal Md Zain berkata, hari ini 46 anggota SAR terbabit dalam misi itu termasuk dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, pasukan penyelam APM, PPDA Shah Alam, PPDA KLIA, PPDA Pelabuhan Klang, Unit Dron dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.

Beliau berkata, Op SAR meliputi pencarian di dalam air di Sungai Kerayong bermula di kawasan Flat Seri Johor sehingga ke kawasan limpahan air di Bandar Seri Permaisuri, manakala di Sungai Klang bermula di Seri Muda sehingga Puchong dan dari Sungai Kandis ke Shah Alam.

“Op SAR hari keempat tidak lagi memberi tumpuan di kawasan kanak-kanak itu terjatuh, sebaliknya sudah diperluas sehingga ke kawasan limpahan air serta di sepanjang Sungai Klang hingga ke Shah Alam.

“Bagaimanapun, pasukan SAR akan memulakan semula pencarian di lokasi kanak-kanak itu terjatuh sebaik selesai pencarian di sepanjang kawasan Sungai Klang hingga Shah Alam selesai.

“Malah, bagi mencari sebarang bukti atau tanda di sepanjang tebing sungai, Op SAR turut menggunakan dron JBPM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelam APM hari ini turut membantu membuat pencarian di kawasan perangkap sampah di sebuah tasik di Bandar Tasik Permaisuri, namun mengalami kesukaran berikutan kadar penglihatan di kawasan itu adalah sifar.

Sementara itu, Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Cheras, Kapten (PA) Azulkarnain Awang @Abdul Aziz berkata, APM akan terus memberi bantuan diperlukan pasukan SAR dalam mencari kanak-kanak berkenaan sehingga ditemui.

Katanya, ia bukan sahaja membabitkan bantuan pencarian di permukaan air, sebaliknya membabitkan bantuan carian menggunakan unit skuba APM.

Pada Selasa lalu, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras sebaik terjatuh ke dalam longkang ketika bermain bersama beberapa rakannya.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang, menggerakkan pasukan dari BBP Pandan Indah ke lokasi itu untuk operasi SAR.

Berita berkaitan

'Cari Danish guna dron'

'Mahu sambut hari lahir dengan badut'

'Tumpu 2 kawasan [METROTV]'

'Budak jatuh longkang dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:21 PM