BUNGA Rafflesia yang belum berkembang di kawasan pelancongan itu di Pos Brooke, berdepan kemusnahan di sodok pekebun sayur. FOTO RAMLI IBRAHIM
BUNGA Rafflesia yang belum berkembang di kawasan pelancongan itu di Pos Brooke, berdepan kemusnahan di sodok pekebun sayur. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kawasan bunga Rafflesia di Pos Brooke, di sini, didakwa semakin terjejas berikutan pencerobohan daripada pengusaha kebun sayur sejak kebelakangan ini.

Beberapa penduduk Orang Asli yang menjadi pemandu pelancong ke kawasan itu bimbang situasi itu jika dibiarkan akan menjejas kedatangan pelancong.

Penghulu Kampung Jedip, Pos Brooke, Nasir Busu berkata, pencerobohan pekebun sayur di kawasan bunga Rafflesia masih di peringkat awal.

Katanya, kerajaan negeri yang ada kuasa ke atas tanah masih boleh bertindak untuk menghalang pencerobohan itu daripada menjadi lebih serius.

"Kita mengharapkan pihak berkuasa bertindak ke atas pencerobohan kawasan bunga Rafflesia kerana masih belum terlambat berbuat demikian.

"Kami juga tidak pasti sama ada tanah kawasan bunga Rafflesia itu ada pemilik individu atau syarikat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pemandu pelancong Orang Asli, Kasim Malu, 70, berkata, penduduk sekitar Pos Brooke tidak ada peluang pekerjaan lain jika kawasan pelancongan di situ terjejas.

Katanya, kebanyakan mereka bergantung rezeki sebagai pemandu pelancong selepas kawasan itu terkenal dengan bunga Rafflesia.

Dia berkata, kerajaan sepatutnya mewartakan sepenuhnya kawasan bunga Rafflesia bagi mengelakkan berlaku pencerobohan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 3:21 PM