AB Rahman menunjukkan tempat cucunya Muhammad Azan Firdaus yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika merenjat ikan di dalam parit di belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
AB Rahman menunjukkan tempat cucunya Muhammad Azan Firdaus yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika merenjat ikan di dalam parit di belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: "Pada awalnya saya melarangnya pergi seorang diri dan minta supaya menunggu saya selepas menukar pakaian sebelum menemaninya ke situ," kata Ab Rahman Sulong, hari ini.

Ab Rahman, 62, adalah datuk kepada Muhammad Azan Firdaus Mansor, 13, yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika merenjat ikan di dalam parit di belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal, di sini, petang semalam.

Menurutnya, cucunya itu sempat memberitahu mahu menangkap ikan di parit di belakang rumah pada 4.30 petang.

"Saya melarangnya pergi seorang diri dan masuk ke dalam rumah selama 15 minit untuk menukar pakaian sebelum pergi ke kawasan parit.

"Ketika itulah, saya terdengar jeritan Azan memanggil 'ayah' beberapa kali dan ternampak Azan tersandar di tebing parit dengan tepi kepala tersangkut di pagar kawat berhampiran dalam keadaan tercungap-cungap.

"Ketika itu saya nampak generator sedang dipasang dan segera mencabut plug bagi menghentikan arus elektrik itu.

"Saya mengalihkannya ke atas batas parit sebelum mengajar dia mengucap beberapa kali dan meminta bantuan daripada ahli keluarga lain," katanya.

Menurutnya, ibu arwah sempat menghubungi abang arwah yang bekerja di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut sebelum mereka datang mengusung mangsa ke rumah.

Katanya, pihak APM turut menghubungi Klinik Kesihatan Jabi dan pegawai kesihatan mengesahkanAzan sudah meninggal dunia ketika melakukan pemeriksaan di rumah pada 4.39 petang," katanya.

Ab Rahman yang juga bekerja sebagai pemandu lori berkata, semua 15 orang cucunya memanggilnya dengan panggilan 'ayah'.

Ibu mangsa, Roslina Abd Rahman, 43, berkata, Azan adalah anak bongsu daripada empat beradik dan seorang yang sangat peramah dengan sesiapa sahaja.

"Namun beberapa hari ini saya perasan dia kurang bercakap. Malam kelmarin, dia masuk sekejap ke dalam bilik saya tetapi kemudian kembali semula ke biliknya.

"Arwah sempat memasang nisan kubur milik penduduk kampung beberapa minggu lalu dan rajin mencuci kawasan kubur bila ada kelapangan.

"Dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apal 10 pagi tadi," katanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian daripada datuk mangsa.

Beliau berkata, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Polis Jertih bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut dan tidak menemui sebarang kesan kecederaan kepada mangsa.

"Datuk mangsa memaklumkan mangsa pernah menangkap ikan berseorangan.

"Mayat dihantar ke Hospital Besut dan bedah siasat mendapati punca kematian akibat renjatan elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:06 PM