GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Remaja lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dalam parit di belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira 4.30 petang itu ketika mangsa dipercayai menangkap ikan secara renjatan elektrik, sendirian di situ.

"Sebelum itu, mangsa dikatakan sempat memanggil datuknya yang berada di belakang rumah namun, sebaik datuknya tiba, mangsa sudah rebah di tepi parit.

"Datuknya mengangkat mangsa ke atas batas parit dan keluarga menghubungi pihak kesihatan sebelum dia disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, siasatan pada tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan.

"Temubual lanjut dengan datuk mangsa, mendapati mangsa pernah melakukan aktiviti itu secara sendirian sebelum ini," katanya.

Menurutnya, keputusan bedah siasat dilakukan ke atas mangsa di Hospital Besut mengesahkan kematian akibat renjatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 11:31 AM