GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) Johor menyambut baik cadangan diusulkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat menjemput parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan mesyuarat mitigasi Covid-19.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Dap Johor, Senator Liew Chin Tong berkata, penyertaan parti pembangkang di peringkat negeri adalah sebagai tambahan kepada mesyuarat di peringkat pusat.

"Malah, ia amat penting kerana semua pihak perlu berganding bahu supaya komunikasi, perundingan dan perbincangan yang menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan terhadap cara menangani wabak dan memulihkan ekonomi negara dengan lebih bersepadu, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri dilaporkan bercadang menjemput pemimpin pembangkang untuk bekerjasama melangkaui Belanjawan 2021.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau juga sedia membenarkan pembangkang untuk hadir pada sesi taklimat harian Covid-19.

Dalam perkembangan lain, PH Johor mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan semalam sehingga 6 Disember depan, dikaji semula dengan pelaksanaan lebih bersasar mengikut daerah atau perbandaran terjejas.

Menurutnya, pakatan berkenaan bingung dengan pengumuman PKPB secara tiba-tiba di kebanyakan negeri, kelmarin.

Menurut kenyataan itu, PH Johor juga keliru sama ada langkah semasa yang dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat tidak dipatuhi, penguatkuasaan kurang bersepadu atau kelemahan pengesanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

PH Johor juga berharap data perbandingan atau unjuran pandemik di setiap negeri dapat dibentangkan kepada rakyat supaya semua pihak memahami tanggungjawab mereka selain mengelakkan masyarakat terus tertekan daripada kesulitan ekonomi dan keletihan pandemik.

"PH Johor juga ingin mengesyorkan supaya PKPB dilaksanakan mengikut daerah/perbandaran secara khusus dan bukan membabitkan seluruh negeri.

"Berdasarkan tempoh semasa yang seharusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), unit penguatkuasaan undang-undang, seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KKM juga perlu menerapkan polisi penguatkuasaan berhemah.

"Tumpuan perlu dilakukan untuk menggalakkan masyarakat mematuhi SOP, melainkan jika mereka ingkar nasihat yang diberikan semasa pemeriksaan dilakukan barulah saman dikeluarkan," kata kenyataan berkenaan.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB selama sebulan bermula semalam hingga 6 Disember depan.

Beliau dilaporkan berkata, negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 2:01 PM