Operasi mencari pesara polis, Wahab Yaacob, 65, yang dipercayai hilang dalam hutan getah masih dilakukan anggota bomba dan dibantu penduduk di Kampung Batu Besar, Jalan Parit Panjang. FOTO IHSAN BOMBA
Operasi mencari pesara polis, Wahab Yaacob, 65, yang dipercayai hilang dalam hutan getah masih dilakukan anggota bomba dan dibantu penduduk di Kampung Batu Besar, Jalan Parit Panjang. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Seorang pesara polis dilaporkan hilang selepas dipercayai masuk ke dalam kebun getah di Kampung Batu Besar, Jalan Parit Panjang, Mukim Teloi, di sini, sejak semalam.

Berikutan itu, usaha mencari mangsa, Wahab Yaakob, 65, dengan dilakukan sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.36 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali pada 10.50 malam.

"Operasi disertai lapan anggota dan dibantu penduduk kampung berhampiran," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, hasil maklumat awal, mangsa dipercayai baru seminggu sedar dari koma akibat kemalangan jalan raya menyebabkan hilang ingatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penduduk kampung ternampak mangsa masuk ke kebun getah berhampiran rumah kira-kira 7.15 malam.

Beliau berkata, ketika itu, isteri dan anaknya berada di rumah dan menunaikan solat Maghrib.

"Berikutan itu, keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbangkan keselamatannya," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa turut disertai 25 penduduk kampung pada jarak sejauh dua kilometer dari rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:44 AM