PASUKAN penyelamat menemui mayat mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
PASUKAN penyelamat menemui mayat mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Safuri Kamarudin


LELAKI di Baling ditemui meninggal dunia di dalam kebun, malam tadi, selepas tidak pulang ke rumahnya sejak petang semalam.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 52 tahun dari Kampung Lubuk Badak, Jalan Weng dipercayai ke kebun di Kampung Bukit Sebelah.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga lewat malam menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan mengenai kehilangannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.30 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi jam 9.55 malam.

Menurutnya, operasi mencari dilakukan sekitar kebun berkenaan dan mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Dia ditemui pada 11.15 malam dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bomba menggunakan pengusung bagi membawa mangsa ke kaki bukit.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut disertai polis, penduduk kampung serta Pasukan Bomba Sukarela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:46 AM