KEADAAN kereta yang terlibat dalam perlanggaran dengan motosikal yang dinaiki oleh Nur Syafiah di Jalan Besar, Kluang. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN kereta yang terlibat dalam perlanggaran dengan motosikal yang dinaiki oleh Nur Syafiah di Jalan Besar, Kluang. FOTO IHSAN PDRM
Adnan Ibrahim


Kluang: Seorang kanak-kanak perempuan yang dalam perjalanan ke tempat latihan taekwondo maut manakala bapanya cedera selepas motosikal dinaiki dua beranak itu dirempuh kereta di Jalan Besar dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.51 pagi itu, Nur Syafiah Munirah Zulnawarin,7, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal ditunggang Zulnamawarin Sarman, 49, yang dalam perjalanan dari Bulatan Batu Pahat menuju ke arah Jalan Besar.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 20 tahun dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk ke Jalan Tasek dan bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak itu.

"Akibat kejadian itu, dua beranak berkenaan mengalami kecederaan sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan. Bagaimanapun, kira-kira jam 1.45 petang, Syafiah Munirah disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Wad Kecemasan," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Hang Seng, ayah mangsa bagaimanapun masih dirawat di hospital sama manakala jenazah akan diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan sebaik proses bedah siasat selesai petang ini.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 6:27 PM