MOTOSIKAL dinaiki tiga beranak yang terbabas sebelum bapa meninggal dunia manakala dua anaknya cedera dalam kemalangan di Jalan Kampung Palembang, Kluang, malam tadi. FOTO ihsan polis.
MOTOSIKAL dinaiki tiga beranak yang terbabas sebelum bapa meninggal dunia manakala dua anaknya cedera dalam kemalangan di Jalan Kampung Palembang, Kluang, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Adnan Ibrahim


Kluang: Seorang lelaki maut manakala dua anaknya cedera selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar papan tanda jalan dalam kejadian di Jalan Kampung Palembang dekat sini, 9.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa, Abd Rafee Abd Talib,36, bersama dua anaknya berusia 11 dan 12 tahun datang dari arah Taman Sri Permai menghala ke Kampung Palembang Baru.

Beliau berkata, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang papan tanda di sebelah kiri jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepada sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan.

"Manakala dua anak yang membonceng motosikal ditunggang mangsa cedera di mulut dan patah kaki kiri," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Low berkata, semua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk rawatan dan proses bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) untuk mengenal pasti punca kejadian dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:33 PM