Adnan Ibrahim


Kluang: Seorang lelaki terpaksa memecahkan cermin kereta Proton Waja yang dinaiki untuk menyelamatkan isteri sebelum dia hanyut bersama kenderaan itu dalam kejadian banjir di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kejadian dilaporkan oleh isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 24, jam 5.30 pagi tadi di Balai Polis Kahang.

Katanya, pengadu bersama suaminya, Md Rajihan Junaidi, 28, dalam perjalanan dari Mersing menuju ke bandar Kluang.

"Ketika sampai di Batu 18 Jalan Kluang - Kahang, jam 5.30 petang semalam, pasangan itu dikatakan meredah banjir di kawasan berkenaan.

"Di pertengahan jalan, kereta dinaiki tiba-tiba dibawa arus deras ke kanan laluan menyebabkan suaminya mencecahkan cermin kereta untuk mengeluarkan pengadu," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Hang Seng berkata, pengadu diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian namun suaminya dikatakan hanyut bersama kenderaan dinaiki.

"Usaha mengesan mangsa bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang sedang giat dilakukan hari ini namun masih gagal menemui mangsa," katanya.

Berita berkaitan

Bomba cari lelaki dipercayai hanyut bersama kereta

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 12:56 PM