KEADAAN kenderaan yang dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


Kluang: Seorang wanita bersama bayinya maut manakala suami dan seorang lagi anak mereka cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 74.3 Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam kira-kira 10.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, Nagaranjini Batu Malai, 25, bersama bayinya Varsha Guna, lima bulan, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Manakala suaminya berusia 40 tahun yang juga pemandu kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka serta anak lelakinya berusia enam tahun mengalami kecederaan patah kaki kiri.

"Kejadian berlaku ketika keluarga empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menuju ke arah Simpang Renggam sebelum terbabit dalam kemalangan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Produa MyVi dipandu lelaki berusia 40 tahun itu cuba mengelak sebuah kenderaan di sebelah kanan jalan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi kiri jalan," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Low, akibat daripada kejadian itu, mangsa serta bayinya yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Semua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya.

Pic caption:

Keadaan kereta yang dinaiki keluarga empat beranak sebelum isteri dan bayinya maut selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 74.3 Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam kira-kira jam 10.40 malam tadi.

From: Adnan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 11:49 AM