AIDI (tengah) menunjukkan dadah dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan
AIDI (tengah) menunjukkan dadah dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply


DUA lelaki dipercayai orang tengah dalam urusan jual beli dadah ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Kuala Terengganu.

Selain menahan dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 22 tahun serta merampas pil kuda, syabu dan kodein, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM3,000 dan wang tunai RM1,150.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, tangkapan pertama membabitkan pembantu kedai runcit berusia 25 tahun di garaj sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong, Kuala Terengganu, kira-kira 12 tengah hari Rabu lalu.

Katanya, polis menemui tiga peket plastik cerah mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 154.30 gram (g) dianggarkan bernilai RM10,500 di dalam poket seluar suspek.

“Bagi tangkapan kedua pula, suspek berusia 22 tahun dan tidak bekerja ditahan di depan kedai makan di Kampung Titian Baru, kira-kira 1 pagi Khamis lalu.

“Polis merampas syabu seberat satu kilogram, pil kuda dianggarkan seberat 400.12 g dan 1.5 liter dadah jenis kodein dengan rampasan dianggarkan RM81,195 sekali gus menjadi tangkapan terbesar di Terengganu tahun ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek pertama yang negatif dadah tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan baru sebulan berjinak-jinak kegiatan pengedaran.

Katanya, manakala suspek kedua yang positif dadah mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Siasatan awal mendapati, dua kes itu mempunyai kaitan dan pihaknya percaya siasatan akan membawa kepada lebih banyak tangkapan selepas ini.

“Suspek terbabit direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:47 PM