Antara kereta terpakai ditemui dalam kontena yang diikrar kosong. Foto Omar Ahmad
Antara kereta terpakai ditemui dalam kontena yang diikrar kosong. Foto Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kontena yang diikrar kosong di Pelabuhan Pasir Gudang dekat sini, ketika dibawa masuk ke negara ini dikesan menyimpan lima kenderaan terpakai.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor Sazali Mohamad berkata, kontena itu ditahan di sebuah premis depoh kontena yang terletak di Jalan Emas 3, Pasir Gudang pada 6.30 petang, 21 Oktober lalu.

Menurutnya, lima kereta itu adalah jenis Toyota Vitz, Toyota FunCargo, Toyota Allion, Nissan March dan Nissan Xtrail.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima kereta terpakai yang dipercayai belum lulus JKDM dan nilai semua kenderaan yang dirampas adalah dalam anggaran RM79,500 membabitkan cukai sebanyak RM112,890.

"Seorang pekerja syarikat pengimport kontena berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000.

"Tujuan kereta terpakai yang dibawa masuk ke dalam kontena yang diikrar kosong itu masih dalam siasatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JKDM Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 1:14 PM