Amar Awang Tengah menyampaikan surat hak milik tanah kepada salah seorang penduduk Kampung Rantau Panjang. FOTO Roji Kawi
Amar Awang Tengah menyampaikan surat hak milik tanah kepada salah seorang penduduk Kampung Rantau Panjang. FOTO Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum membincangkan bila Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 sepatutnya diadakan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, selaku Ketua Menteri untuk menentukannya.

"Itu hak mutlak Ketua Menteri untuk menentukan (PRN Sarawak Ke-12). Belum ada perbincangan rasmi, kita tunggu sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu bahawa PRN Sarawak Ke-12 yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa, tidak dapat dielakkan.

"Kita tidak mahu memikirkan pilihan raya sahaja, kerja untuk rakyat perlu diutamakan," kata Awang Tengah.

Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut membidas dakwaan pembangkang bahawa penyerahan surat hak milik tanah itu sebagai umpan kerajaan GPS menjelang pilihan raya.

"Kami melakukan kerja penyukatan tanah dan pemberian surat milik ini sepanjang masa, bukan menunggu hanya menjelang pilihan raya saja.

"Ini sudah kami buktikan sejak dahulu lagi kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan," katanya.

Beliau berkata, menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu sejak 2010 hingga kini, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas 943,926 hektar tanah NCR dengan seluas 753,456 hektar sudah diwartakan.

"Kemampuan kita menyukat tanah menerusi program inisiatif baharu itu ternyata jauh berbeza berbanding program penyukatan lama yang dilaksanakan sejak 1960-2010 yang mana dalam tempoh 50 tahun itu hanya seluas kira-kira 260,000 hektar tanah NCR yang berjaya disukat dengan secara puratanya hanya seluas 5,200 hektar dapat diukur setahun sedangkan permintaan untuk menyukat tanah NCR ini begitu banyak," katanya.

Malah, katanya, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerja penyukatan tanah berdepan kesukaran apabila peruntukan dikurangkan.

"Bukan setakat dipotong, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu sekejap ada, sekejap tidak ada.

"Akhirnya, kerajaan negeri, menanggung sendiri peruntukan sebanyak RM30 juta setahun untuk melaksanakan kerja penyukatan tanah NCR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:28 PM