FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir
FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan hanya aktif melakukan kayuhan basikal sambil mengutip sampah malah Muhammad Mufarizam Yahir turut giat membantu Masjid Bandar Putra IOI Segamat mengumpul dana menerusi jualan barangan kitar semula.

Muhamad Mufarizam, 37, yang bertugas sebagai pembantu penguatkuasa bahagian kesedaran awam Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Segamat, Johor berkata inisiatif itu dilakukan sejak dua tahun lalu dengan sokongan daripada pengurusan masjid.

Menurut Muhamad Mufarizam, usaha itu berhasil apabila kira-kira RM1,000 dikutip setiap tahun hasil jualan barangan kitar semula.

"Sebelum melaksanakan inisiatif ini, saya sekadar aktif melakukan kayuhan basikal sambil mengutip sampah di sekitar bandar Segamat.

"Kebiasaannya, saya melakukan kayuhan secara solo pada hujung minggu atau masa terluang tetapi ada masanya bersama rakan yang berminat untuk turut serta.

" Selain di sepanjang laluan kayuhan ,saya turut mengutip sampah di sekitar masjid dan bertitik tolak daripada situ tercetusnya keinginan membudayakan amalan itu dalam kalangan kariah masjid," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Mufarizam, selaku Penolong Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Rakan Muda dan Kitar Semula masjid, dia membantu membuat permohonan mendapatkan sangkar kitar semula SWM Environment Sdn Bhd (SWM) melalui SWCorp.

Katanya, kewujudan sangkar berkenaan memudahkan lagi barangan kitar semula dikumpul di satu tempat sebelum dijual.

FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir
FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir

" Sebelum dilantik sebagai AJK, saya adalah kariah di masjid yang mencadangkan untuk pihak pengurusan menulis surat permohonan bagi mendapatkan sangkar kitar semula.

"Alhamdulillah, permohonan diluluskan dan kemudahan dibekalkan SWM dengan kebenaran SWCorp itu sudah sedia ada di kawasan masjid.

" Menerusinya, kita cuba mendidik kariah untuk menderma tidak hanya wang ringgit tetapi barangan kitar semula kepada masjid.

" Barangan itu kemudiannya akan dijual dan wang diperoleh disumbangkan kepada tabung masjid .

" Pihak masjid juga sudah mewar-warkan kepada jemaah supaya membawa barangan kitar semula ke masjid tidak kira botol, kotak atau apa saja untuk diderma khususnya pada setiap Jumaat," katanya yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Bapa seorang anak perempuan berusia empat tahun itu mengakui seronok dan akan terus melakukan kerja sukarela berkenaan selagi termampu.

Misinya menjadikan Masjid Bandar Putra IOI sebagai contoh kepada masjid lain untuk melakukan inisiatif serupa.

FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir
FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam Yahir

"Rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan itu mungkin kerana saya sendiri bekerja sebagai pembantu penguatkuasa.

"Meskipun sudah terbiasa, saya sentiasa berusaha mendidik diri supaya terus istiqamah dengan membawa plastik sampah dan sarung tangan setiap kali keluar dari rumah.

"Alhamdulillah, saya tidak berseorangan kerana rakan daripada kumpulan berbasikal turut membantu dari segi kewangan bagi menjayakan program anjuran masjid .

" Diharap, usaha ini menjadi asbab untuk kita semua masuk ke syurga Allah," katanya yang juga menjadi pengasas pertubuhan Hero Sampah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 3:29 PM