MUHAMAD Mufarizam Yahir menjalankan misi gotong royong membersihkan 500kg sampah dengan empat rakannya. FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam
MUHAMAD Mufarizam Yahir menjalankan misi gotong royong membersihkan 500kg sampah dengan empat rakannya. FOTO Ihsan Muhamad Mufarizam
Redzuan Muharam


Segamat: Bukan hanya beriadah dengan berbasikal malah lima sekawan berganding bahu membersihkan dan mengutip sampah seberat hampir 500 kilogram (kg) di sebuah kawasan tercemar di Jalan Universiti Bypass Batu Anam, di sini.

Mereka terdiri daripada Muhamad Mufarizam Yahir, 39, dan empat rakannya iaitu Hafiruddin Hazis, 28, (polis), Mohd Fathimi Abu Bakar, 42, (guru), Muhammad Shabir Maidin, 32, (bomba) dan Sahrin Samad, 43, (kontraktor syarikat telekomunikasi).

Menurut Muhamad Mufarizam, dia sudah lama menyedari longgokan sampah di kawasan berkenaan sebelum ini namun baru berpeluang bergotong-royong dengan rakan untuk membersihkannya.

"Tapak longgokan sampah itu adalah tempat pencawang sebuah syarikat telekomunikasi. Ia tercemar kerana orang awam juga yang gemar memberi makanan kepada monyet liar di situ.

"Bungkusan makanan dibuang di situ dan semakin lama, ia jadi bertambah banyak hingga kawasan berkenaan tercemar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, aduan mengenai pencemaran di kawasan itu sudah dibuat sebelum ini namun belum ada tindakan dan difahamkan ia adalah di bawah seliaan sebuah agensi.

"Jadi, kami sepakat bersihkan saja dan ambil masa hampir dua jam untuk kutip serta masukkan sampah ke dalam 21 bungkus plastik kesemuanya.

"Selain sisa makanan, ada juga dua tilam dibuang di situ dan sebelum melakukan kerja pembersihan, kami terlebih dulu pakai sarung tangan serta kutip menggunakan alat penyepit sampah.

"Alhamdulillah, usaha kami membuahkan hasil. Saya dan rakan memasang niat sedekahkan pahala itu kepada keluarga yang sudah tiada.

"Kerja gotong royong ini juga salah satu usaha kami untuk mendidik satu sama lain menyayangi alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 4:29 PM