Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebanyak 102 lokasi sampah haram dikesan di negeri ini sejak tiga tahun lalu dengan kebanyakannya berhampiran kawasan perindustrian di Sungai Petani dan Kulim.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Nordin Amat berkata, daripada jumlah itu, 59 lokasi sudah ditutup manakala 43 lokasi lagi masih aktif.

Beliau berkata, lokasi sampah haram itu sebahagian besarnya membabitkan sisa binaan, domestik dan sebahagian tempat membabitkan sisa elektronik (E-waste).

"Sebanyak lapan kes sampah haram dibawa ke muka pengadilan dan enam daripadanya disabitkan dengan kesalahan mahkamah membabitkan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

"Sehingga kini, kita sedang menyiapkan 10 lagi kertas siasatan dan menanti keizinan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Sempena Sambutan 'World Clean Up Day' (WCD) dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Negeri 2021 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Hadir merasmikan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Nordin berkata, pihaknya menerusi pembantu penguat kuasa SWCorp sentiasa melakukan pemantauan di 43 lokasi sampah haram masih aktif itu memastikan sisa buangan tidak terus dilonggokkan di situ.

Beliau berkata, gegantung (banner) peringatan turut dipasang di kawasan lokasi sampah haram agar orang ramai tidak terus membuang sampah di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:07 PM