GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Tindakan agresif seorang lelaki yang mengundurkan kereta dipandunya dalam cubaan merempuh polis untuk melarikan diri memaksa pihak berkuasa melepaskan dua das tembakan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, bagaimanapun tindakan suspek itu tidak berhasil apabila dia akhirnya ditangkap selepas dikejar sejauh dua kilometer dari lokasi serbuan iaitu di banglo di Salak Baru, di sini, 12 tengah hari hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan tiga lelaki lain yang berada dalam banglo berkenaan dan keempat-empat suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Menurutnya, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sungai Siput dan Kuala Kangsar hasil daripada maklumat.

"Sewaktu melarikan diri, suspek yang memandu kereta itu bertindak agresif dengan mengundurkannya dipercayai cuba merempuh polis hingga memaksa polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta itu.

"Tembakan itu dilepaskan ke arah tayar depan dan belakang, namun suspek berjaya melarikan diri sebelum dia akhirnya ditangkap selepas dikejar sejauh dua kilometer dari lokasi serbuan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan empat suspek berusia 40-an itu, pihaknya merampas dadah jenis heroin seberat 29.1 gram dianggarkan bernilai RM1,500.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 11:14 PM