Nazdy Harun

Kuala Berang: "Kesemua bahan-bahan untuk membuat kuih-muih sepanjang Ramadan hangus terbakar," kata Roslina Harun, 53, apabila rumahnya di Kampung Bukit Ara, dekat sini, hangus dalam kebakaran, petang kelmarin.

Ibu tunggal itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang mengakibatkan keseluruhan rumah pusaka dihuni bersama lima anak berusia 14 hingga 21 tahun musnah sama sekali.

Katanya, dia menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM50,000, namun tetap bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

"Saya tidak menyedari berlaku kebakaran kerana sibuk mengangkat kuih-muih untuk dibawa keluar sebelum dibawa ke bazar Ramadan.

"Namun, mujur anak sulung Muhammad Aminuddin Yaacob, 21, yang ketika itu berada di dalam rumah menjerit memberitahu api marak di bahagian dapur," katanya.

Menurutnya, melihat api mula marak membakar struktur rumah yang diperbuat daripada kayu, dia kemudian melaungkan azan beberapa kali sebelum pasukan bomba tiba.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan beg duit dan dokumen penting kerana api marak dengan cepat selain tidak berani untuk meredah masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar.

"Selain pakaian dan peralatan rumah, kesemua barangan untuk membuat kuih-muih yang dibeli untuk kegunaan sebulan sepanjang Ramadan turut hangus.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anak yang terdengar bunyi letupan kecil daripada struktur kayu dijilat api memaklumkan kejadian.

ROSLINA melihat keadaan rumahnya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Ara. FOTO Nazdy Harun
ROSLINA melihat keadaan rumahnya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Ara. FOTO Nazdy Harun

"Alhamdulillah, ini adalah ujian buat saya sekeluarga di bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri akan dilakukan sekadar termampu kerana kali ini saya akan menyambut hari raya tanpa rumah sendiri," katanya.

Katanya, dia akan memulakan pembuatan kuih-muih yang menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Ara, Wan Ab Aziz Wan Ab Ghapar berkata, Roslina kini tinggal di rumah saudaranya buat sementara waktu.

Menurutnya, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sudah menemui keluarga berkenaan selain menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.

"Saya sudah memaklumkan kejadian ini kepada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk tindakan susulan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, kebakaran mengakibatkan kerosakan 85 peratus rumah jenis kekal dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 1:59 PM