Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Keberkesanan dan kesan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 hanya boleh diputuskan selepas ujian klinikal prosedur berkenaan selesai dilakukan pihak berkuasa perubatan.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, di Malaysia Ivermectin ketika ini hanya digunakan bagi ujian klinikal dengan pemantauan rapi oleh pakar, sebaliknya belum bertujuan sebagai rawatan menyeluruh pesakit Covid-19.

Setakat ini, katanya, pelbagai pihak sedang mengumpul bukti saintifik penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 berikutan ubat berkenaan bukan khusus bagi virus terbabit, selain menjelaskan penggunaannya hanya sesuai selepas dipersetujui di peringkat global.

"Pengumpulan bukti saintifik bagi rawatan Covid-19 diperlukan. FDA, Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan United Kingdom juga belum guna (Ivermectin) lagi.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga belum menyarankan (penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19), selain belum ada persetujuan penerimaan global bagi penggunaannya.

"Malah, terdapat perdebatan mengenai penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 di India kerana ada pihak mendakwa ia digunakan dan pihak lain menyatakan sebaliknya," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dilapor memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Ditanya tindakan selepas ujian klinikal itu selesai, Dr Rohaizat berkata, Malaysia perlu berkongsi pengalaman dengan negara maju seperti amalan ketika kajian ke atas penggunaan hydroxychloroquine dan antivirus, ketika gelombang pertama penularan Covid-19, sebelum ini.

"Bila berkongsi kepada seluruh dunia, kita dapat data. Kalau terbukti selamat dan berkesan, mungkin ia boleh digunakan (untuk rawat pesakit Covid-19), tetapi kita kena berhati-hati, kalau ia belum terbukti.

"Setiap kajian ada protokol khas dan ketat yang perlu dipatuhi, matlamatnya adalah keselamatan pesakit. Ketika ini, masih awal untuk kita putuskan sama ada Ivermectin boleh digunakan untuk rawat pesakit Covid-19 atau tidak.

"Negara luar menentang penggunaan Ivermactin ini kerana menunggu bukti kukuh. Biasanya, kalau WHO, FDA dan banyak negara sudah beri kelulusan, kebanyakannya akan ikut," katanya.

Menyokong pandangan berkenaan, Presiden Persatuan Farmasi, Amrahi Buang berkata, Malaysia kini di peringkat akhir pelaksanaan ujian klinikal khas dengan tahap keberkesanan penggunaan Ivermactin bagi merawat pesakit Covid-19 hanya boleh ditentukan melalui bukti klinikal.

"Situasi di India contohnya, Ivermectin mulanya dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 kerana ketika itu ingat ia adalah 'wonder drug', tetapi kemudian ditarik balik dan dikeluarkan.

"Kita tak kata Ivermectin ini tidak berkesan, tetapi ia perlukan kajian (untuk merawat pesakit Covid-19) kerana tak semestinya ia berkesan dengan populasi lain akan memberi keputusan sama bagi populasi Malaysia," katanya.

Mengulas penggunaan Ivermectin, Amrahi berkata, ia memang tidak boleh digunakan ke atas manusia, kecuali bagi tujuan tertentu kerana setiap ubat mempunyai indikasi (tujuan perubatan) tersendiri.

"Kita tak boleh gunakan ubat di luar indikasi. Ia hanya sah digunakan ke atas haiwan sahaja, tetapi dalam prosedur ujian klinikal, Ivermectin digunakan secara 'off-label' bagi tujuan penyelidikan.

"Majoriti pakar juga tidak bersetuju dengan penggunaan Ivermectin bagi rawatan pesakit Covid-19 kerana kajian tidak mencukupi dan tidak menepati standard diperlukan. Lebih baik kita bersabar dan tunggu hasil kajian klinikal terlebih dahulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:52 PM