Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Zon Klang melakukan proses sanitasi di sekitar mahkamah sebagai usaha mencegah penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Mahkamah Rendah Syariah Klang. FOTO Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Zon Klang melakukan proses sanitasi di sekitar mahkamah sebagai usaha mencegah penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan di Mahkamah Rendah Syariah Klang. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 29 operasi sanitasi dilakukan di 26 kawasan Zon Merah, Zon Kuning dan Hijau di 11 negeri, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, enam operasi dijalankan di Zon Merah, 12 operasi di Zon Kuning dan lapan operasi di Zon Hijau.

"Negeri yang terbabit dalam operasi sanitasi itu ialah Kedah (lima), Melaka (lima), Sabah (empat), Sarawak (tiga), Negeri Sembilan (dua), Pulau Pinang (dua), Terengganu (dua), Pahang (satu), Perlis (satu), Perak (satu), Kuala Lumpur (satu), Labuan (satu) dan Putrajaya (satu).

"Operasi sanitasi itu membabitkan 203 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 226 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lima daripada agensi lain dengan 25 jentera bomba digunakan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 10,682 operasi sanitasi merangkumi 136 zon dilakukan sejak 30 Mac lalu.

"Sebanyak 13,312 premis disanitasi terdiri daripada 2,739 pusat perniagaan, 1,612 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,645 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,962 bangunan kerajaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 736 premis perniagaan termasuk peruncit (534), pemborong (173) dan pengilang (29), semalam.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga melakukan 1,096 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,078 premis mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 52,841 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 66 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan sejak 24 Julai sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,196 individu sedang menjalani proses kuarantin, manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 44,264 individu pula didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka pulang dari 35 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia dan Maldives," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 6:04 PM